HIJRAH RASULULLAH (S.A.W) (1)
Sebaik sahaja keputusan durjana diambil untuk membunuh Rasulullah, Jibril pun turun menemui Rasulullah, dengan wahyu dari TuhanNya Tabaraka Wataala, Jibril memberitahu pakatan jahat Quraisy, kini Allah telah mengizinkan baginda untuk keluar berhijrah, dengan menentukan masa pergerakan hijrah dengan katanya: “Malam ini jangan kau tidur di tempat kau yang biasa tidur itu”.
Di tengah hari rembang Rasulullah datang menemui Abu Bakr as-Siddiq untuk memastikan kepadanya jadual hijrah, Saidatina Aisyah (r.a) telah menyebut: Semasa kami sedang duduk di rumah Abu Bakr, di ketika rembang hari, ada seorang berkata kepada Abu Bakr, “Itu Rasulullah berkelubung datang di saat yang tidak biasa baginda menziarahi kami”, kata Abu Bakr demi Allah, baginda tidak datang di ketika ini, kecuali untuk urusan besar.
Kata Aisyah: Maka tibalah Rasulullah, lalu baginda meminta izin, lantas baginda masuk sambil berkata kepada Abu Bakr, “Boleh kau keluar sekejap”. Jawab Abu Bakr, “Mereka ini semua keluarga engkau Rasulullah, demi engkau sebagai bapaku wahai Rasulullah”. Kata baginda, “Kini aku telah diizinkan untuk keluar”. Jawab Abu Bakr, “Demi kau sebagai bapaku, apakah aku mengiringi tuan hamba?” Jawab Rasulullah, “Ya, memang begitu”.
Setelah ditetapkan perancangan hijrah, maka Rasulullah pun pulang semula ke rumahnya, menunggu ketibaan malam.
PENGEPUNGAN RUMAH RASULULLAH S.A.W
Pimpinan dan kepala jenayah Quraisy menghabiskan siang mereka untuk menyempurnakan perancangan dan persiapan seperti yang diputuskan oleh sidang Dar al-Nadwah, sebelas orang kenamaan wakil kabilah masing-masing ialah seperti:
1. Abu Jahal bin Hisyam
2. Al-Hakam bin Abi al-As
3. Ugbah bin Abi Muit
4. al-Nadhr bin al-Harith
5. Umaiyah bin Khalaf
6. Zamaah bin al-Aswad
7. Tu’imah bin ‘Adi
8. Abu Lahab
9. Ubai bin Khalaf
10. Nabyah bin al-Hajjaj
11. dan saudaranya Manbah bin al-Hajjaj
Kata Ibnu Ishak: Bila malam bergerak gelap, mereka pun berkumpul di pintu menunggu baginda tidur, di masa itu mereka akan menyerang serentak. Mereka dengan penuh keyakinan dan kepercayaan yang mereka akan berjaya dengan pakatan jahat itu, di mana Abu Jahal berdiri dengan penuh sombong dan ujub, sambil mereka bertanya kepada semua pengikutnya itu, yang sedang mengepung rumah Rasulullah penuh senda dan ejekan terhadap kesudahan Rasulullah dengan katanya, “Itu dia Muhammad yang pernah menjanjikan kamu semua, sekiranya kamu mengikutnya beliau akan serah kuasa kepada kamu sebagai Mahajara Arab dan Ajam, kemudian kamu akan dibangkitkan semula dari kubur kamu, deng menyerahkan kunci syurga seperti taman-taman di Jordan kononnya, dan sekiranya kamu tidak mahu menurutinya kau akan disembelihnya, setelah itu kamu akan dihidupkan semula kemudian sekali lagi kamu akan diazab dengan disumbat ke dalam neraka yang membakar”.
Masa tindakan adalah ditengah malam, untuk itu mereka berjaga sepanjang malam menunggu detik terakhir, namun Allah mengatasi seluruh perancangan. Mentadbir petala langit dan bumi, Tuhan mampu berbuat segala sesuatu yang dikehendakinya, ianya mampu melanggar sesuatu tetapi tiada suatu pun yang mampu melanggarNya. Memang Allah melaksanakan sesuatu seperti yang disuarakan kepada Rasulullah dengan mafhumnya:
“Dan ingatlah (Wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan lipu daya terhadapmu untuk menahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya”.
(al-Anfal: 30)